Pendapatan Pasif Hakiki
Saya membaca hampir semua buku nukilan Robert
Kiyosaki. Salah satu karya beliau yang paling popular ialah Rich Dad
Poor Dad yang diterjemah dalam banyak bahasa di seluruh dunia. Di antara
pengajaran di dalam buku tersebut ialah kita perlu berusaha untuk
keluar dari cengkaman kewangan yang menjerat kita.
Kita kena pastikan agar pendapatan pasif kita dapat menampung segala
perbelanjaan bulanan kita. Pendapatan pasif ini sangat ditekankan oleh
beliau kerana ia adalah salah satu bentuk pendapatan yang berterusan
tanpa kita perlu berpenat lelah, hanya perlu kerja sekali tetapi
pendapatan yang kita perolehi adalah berkali-kali.
Contohnya jika kita menulis buku dan menjual buku tersebut, maka kita
akan mendapat royalti selagimana buku tersebut masih mampu dijual.
Walaupun kita telah meninggal dunia! Sedangkan kita hanya menulis buku
itu hanya sekali sahaja. Penerangan beliau sungguh membuka mata dan
minda ramai pembaca siri buku beliau.
Bagaimana Pendapatan Pasif Yang Hakiki?
Agama Islam mengajar kita melihat pendapatan pasif lebih daripada
itu. Sebagai seorang muslim, kehidupan selepas mati itu lebih penting
kerana ia adalah kekal abadi.
Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan tiga perkara; Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan keatasnya
Hadith diriwayatkan oleh Muslim & al-Bukhari
Islam telah menggariskan tiga pendapatan pasif di dalam kadar
matawang pahala yang kita boleh usahakan agar kita akan dapat hasilnya
secara berterusan walaupun kita sudah tidak berada di dunia lagi.
Jika di dunia ini kita bermatlamat untuk membina paip pendapatan
pasif seperti yang dinyatakan tersebut, Insyallah hidup kita akan lebih
bermakna dan mudah-mudahan kita mampu ‘goyang kaki’ di sana kelak.
Usaha Yang Mempunyai Kesan Berantai
Ini kerana semua ketiga-tiga pendapatan pasif yang digariskan oleh
Islam sebenarnya satu bentuk pembangunan masyarakat yang sangat baik.
Ini kerana kesan pembangunan pendapatan pasif akhirat ini mempunyai
kesan berantai. Oleh kerana itu ia sangat sukar untuk dilaksanakan,
perlukan pengorbanan, semangat istiqamah dan kesungguhan yang tinggi.
Contohnya,
diri saya sendiri. Saya telah selesa untuk hidup dengan hasil
pendapatan perniagaan yang telah saya usahakan. Atas dasar apa lagi saya
perlu berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang saya ada ini
kepada orang lain?
Jika tidak kerana agama Islam menutut penganutnya membina pendapatan
pasif agar berjaya di dunia dan akhirat, sudah tentu tiada keperluan
untuk saya berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman saya dengan
orang ramai.
Itulah agama Islam, satu agama anutan yang sentiasa mendidik jiwa
manusia agar sedar apa yang dimiliki oleh kita sebenarnya bukan milik
kita. Semuanya sekadar dipinjamkan sahaja sebagai satu ujian dari Tuhan
kepada hambanya.
Namun, masih ramai lagi usahawan yang menjana pendapatan 7-8 angka
sebulan lebih selesa menyimpan ilmu dan kemahiran mereka sendirian
kerana tidak sedar kepentingan membina pendapatan pasif yang hakiki.
Saya doakan agar mereka terbuka hati untuk membina paip pendapatan
pasif.
Tuhan Itu Maha Pemurah Terhadap Hambanya
Jika kita memahami salah satu sifat Tuhan iaitu Yang Maha Pemurah,
maka kita semua akan lagi bersungguh-sungguh untuk membina pendapatan
pasif ini. Manakan tidak, dengan sifat pemurah Tuhan, setiap sedekah
atau ilmu yang kita berikan kepada orang lain akan memberikan pulangan
berganda kepada kita.
Apabila orang lain membuat sebarang kebaikkan di atas asbab dan
musabab kita bersedekah atau mengajarkan ilmu kepada mereka, maka kita
akan mendapat pahala penuh seolah-olah kita sendiri mengerjakan
perbuatan baik tersebut! Subhanallah.
Contohnya ketika ada sahabat kita berputus asa dengan kehidupan
mereka, kita mengambil insiatif untuk berikan galakkan dan dorongan
untuk kembali bangkit. Terinspirasi dengan pendekatan kita, beliau
kembali bangkit. Maka setiap apa perkara baik yang beliau usahakan dan
setiap amal kebajikkan yang beliau lakukan akan turut memberikan saham
untuk kita.
Itulah pendapatan pasif yang hakiki. Sesungguhnya kita semua mampu
mencipta pendapatan pasif kita sendiri berdasarkan kemampuan
masing-masing. Kita masih punyai waktu dan ketika untuk membina
pendapatan pasif agar ia terus berkekalan walaupun kita sudah tiada di
dunia ini kelak.