Wednesday 30 December 2015

PENDAPATAN PASIF HAKIKI

Pendapatan Pasif Hakiki

Saya membaca hampir semua buku nukilan Robert Kiyosaki. Salah satu karya beliau yang paling popular ialah Rich Dad Poor Dad yang diterjemah dalam banyak bahasa di seluruh dunia. Di antara pengajaran di dalam buku tersebut ialah kita perlu berusaha untuk keluar dari cengkaman kewangan yang menjerat kita.
Kita kena pastikan agar pendapatan pasif kita dapat menampung segala perbelanjaan bulanan kita. Pendapatan pasif ini sangat ditekankan oleh beliau kerana ia adalah salah satu bentuk pendapatan yang berterusan tanpa kita perlu berpenat lelah, hanya perlu kerja sekali tetapi pendapatan yang kita perolehi adalah berkali-kali.
Robert Kiyosaki


Robert Kiyosaki 
dengan buku keluaran beliau yang laris. [Bonny Business]


Contohnya jika kita menulis buku dan menjual buku tersebut, maka kita akan mendapat royalti selagimana buku tersebut masih mampu dijual. Walaupun kita telah meninggal dunia! Sedangkan kita hanya menulis buku itu hanya sekali sahaja. Penerangan beliau sungguh membuka mata dan minda ramai pembaca siri buku beliau.

Bagaimana Pendapatan Pasif Yang Hakiki?

Agama Islam mengajar kita melihat pendapatan pasif lebih daripada itu. Sebagai seorang muslim, kehidupan selepas mati itu lebih penting kerana ia adalah kekal abadi.
Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan tiga perkara; Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan keatasnya
Hadith diriwayatkan oleh Muslim & al-Bukhari
Islam telah menggariskan tiga pendapatan pasif di dalam kadar matawang pahala yang kita boleh usahakan agar kita akan dapat hasilnya secara berterusan walaupun kita sudah tidak berada di dunia lagi.
Jika di dunia ini kita bermatlamat untuk membina paip pendapatan pasif seperti yang dinyatakan tersebut, Insyallah hidup kita akan lebih bermakna dan mudah-mudahan kita mampu ‘goyang kaki’ di sana kelak.

Usaha Yang Mempunyai Kesan Berantai

Ini kerana semua ketiga-tiga pendapatan pasif yang digariskan oleh Islam sebenarnya satu bentuk pembangunan masyarakat yang sangat baik. Ini kerana kesan pembangunan pendapatan pasif akhirat ini mempunyai kesan berantai. Oleh kerana itu ia sangat sukar untuk dilaksanakan, perlukan pengorbanan, semangat istiqamah dan kesungguhan yang tinggi.
Kesan Berantai
Contoh bagaimana pahala kita boleh bercambah. [Online Marketing]
Contohnya, diri saya sendiri. Saya telah selesa untuk hidup dengan hasil pendapatan perniagaan yang telah saya usahakan. Atas dasar apa lagi saya perlu berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang saya ada ini kepada orang lain?
Jika tidak kerana agama Islam menutut penganutnya membina pendapatan pasif agar berjaya di dunia dan akhirat, sudah tentu tiada keperluan untuk saya berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman saya dengan orang ramai.
Itulah agama Islam, satu agama anutan yang sentiasa mendidik jiwa manusia agar sedar apa yang dimiliki oleh kita sebenarnya bukan milik kita. Semuanya sekadar dipinjamkan sahaja sebagai satu ujian dari Tuhan kepada hambanya.
Namun, masih ramai lagi usahawan yang menjana pendapatan 7-8 angka sebulan lebih selesa menyimpan ilmu dan kemahiran mereka sendirian kerana tidak sedar kepentingan membina pendapatan pasif yang hakiki. Saya doakan agar mereka terbuka hati untuk membina paip pendapatan pasif.

Tuhan Itu Maha Pemurah Terhadap Hambanya

Jika kita memahami salah satu sifat Tuhan iaitu Yang Maha Pemurah, maka kita semua akan lagi bersungguh-sungguh untuk membina pendapatan pasif ini. Manakan tidak, dengan sifat pemurah Tuhan, setiap sedekah atau ilmu yang kita berikan kepada orang lain akan memberikan pulangan berganda kepada kita.
Apabila orang lain membuat sebarang kebaikkan di atas asbab dan musabab kita bersedekah atau mengajarkan ilmu kepada mereka, maka kita akan mendapat pahala penuh seolah-olah kita sendiri mengerjakan perbuatan baik tersebut! Subhanallah.
Passive Income
Contohnya ketika ada sahabat kita berputus asa dengan kehidupan mereka, kita mengambil insiatif untuk berikan galakkan dan dorongan untuk kembali bangkit. Terinspirasi dengan pendekatan kita, beliau kembali bangkit. Maka setiap apa perkara baik yang beliau usahakan dan setiap amal kebajikkan yang beliau lakukan akan turut memberikan saham untuk kita.
Itulah pendapatan pasif yang hakiki. Sesungguhnya kita semua mampu mencipta pendapatan pasif kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Kita masih punyai waktu dan ketika untuk membina pendapatan pasif agar ia terus berkekalan walaupun kita sudah tiada di dunia ini kelak.

 

JERAT PERCINTAAN YANG MELALAIKAN

Jerat Percintaan Yang Melalaikan


Jatuh bangun menghadapi episod percintaan rupanya tidak mudah. Soalnya kerana berhadapan dengan gelora perasaan dan kecamuk fikiran.
cinta
Islam tidak melarang kita untuk bercinta asalkan mengetahui batasnya.
Dan cinta juga, merupakan episod hidup yang menjeratkan gadis kita ke jalan percintaan yang silap arah. Antara faktor membuatkan perasaan ingin bercinta adalah dek berkumandangnya lagu-lagu cinta yang melalaikan di corong-corong radio dan televisyen.
Sejak kecil dan remaja sekarang dipertontonkan dengan adegan cinta biasa yang saling bersentuhan di antara yang bukan muhrim. Filem-filem dalam negara dan luar negara yang tidak patuh syariah pula merata-rata tanpa had dan sempadan.
Aduhai, betapa sukarnya memecahkan ‘cycle’ ini yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat kita.
Justeru, para gadis mulai menjadi hamba kepada cinta bernafsu. Cinta yang mana keutamaannya bukan kepada keredhaan Allah akan tetapi keredhaan manusia semata-mata.

Cinta Bertuhan Vs Cinta Tidak Bertuhan

Pengalaman mendengar dan membaca permasalahan cinta dari remaja membuatkan timbulnya pelbagai persoalan. Kebiasaanya gadis-gadis yang tidak kuat persekitaran tarbiahnya, menjadikan cinta itu adalah perkara utama dan kuasa dalam hidup.
Setelah diselidiki, rupa-rupanya gadis yang menceritakan berkenaan teman lelakinya itu datang dari keluarga yang kurang didikan agama dan dibiarkan bertebaran sendiri tanpa perhatian.
Saya prihatin dengan gadis ini. Mereka sangat memerlukan perhatian dan belaian yang secukupnya. Lantaran jatuh ke tangan orang yang salah, maka layanan pula menjadi salah.
“Benarlah, cinta itu kuasa yang padanya menatijahkan hanya 2 perkara sahaja, samada mendekatkan diri kepada Tuhan atau menjauhkan diri dari Tuhan.”
Silap mendefiniskan cinta ini juga berlaku, apabila keduanya di sekalikan tanpa piawaian yang benar. Sebagai contoh, tersebarnya gambar-gambar remaja yang belum berkahwin dan saling berpelukan namun captionnya jelas tertulis “Berbahagia hingga Jannah”.
Inilah yang melemaskan para gadis dan para pemuda. Cinta sebegini tambah menjeratkan apabila nafsunya bukan sekadar sms berantai, telefon sepanjang malam namun menjadi hamba kepada seks. Katanya itulah cara membuktikan suka dan cinta.
Akhirnya cinta murah sebegini bukan sahaja meruntuhkan maruah, bahkan runtuhnya jati diri dan prinsip yang harus dipegang oleh setiap remaja muslim.
Justeru, pendidikan cinta yang betul dan tepat yang fungsinya membawa kepada keredhaan Allah tidak berkembang biak dengan baik.

Sukarnya Mendapatkan Cinta Yang Benar

Saya mengerti keadaan dilema sebahagian gadis yang ingin berubah ke jalan yang lebih baik. Berusaha semampunya meninggalkan apa yang dilarang Allah dan memeluk ke dalam jiwa apa yang disukai Allah. Ya, usaha ini pasti mengambil masa.
Samada sekejap atau lama.Justeru gadisku, mari ambil masa bersuara dengan hati, pandangan Allah atau pandangan manusia yang kita pilih? Jika kita memilih Allah, pasti cinta kita juga adalah jalan cinta yang disukai Allah.
Memilih Allah adalah pilihan yang ternyata adalah pilihan yang tepat kerana Allah akan balas dengan cinta yang sangat berharga. Cinta yang tidak tercemar dan buta dengan godaan nafsu semata.
Bukankah cinta itu adalah rezeki? Dan rezeki tidak akan didapati melainkan dicari?

Cinta Yang Benar Itu Sentiasa Ada

Ya gadisku. Aku mendengar seluruh kecamuk dalam hatimu!
Sukarnya berubah ya Allah!
Bantu aku ya Allah!

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tersirat di hati hamba-Nya.
Para gadis yang disayangi kerana Allah, selagi nyawa belum di hujung helaan dan mati belum tiba, selagi itu kita masih ada ruang masa untuk berubah.
Untuk mendapatkan cinta teragung dan mengenalkan diri dengan cinta yang membawa konsep kebahagiian, tidak dapat tidak, usaha kita mesti tinggi.
Kerana cinta yang dikejar bukan cinta berpangkat rendah tetapi cinta berpangkat agung. Jadi mulai sekarang juga, kita mesti meletakkan prinsip pada diri.
Aku mahu jadi gadis yang bagaimana?
Bagaimana diriku dan cinta yang ku ingini?
Bukankah seseorang itu menarik orang dan jodoh yang menyerupai dirinya?
Bukankah hanya yang benar-benar mencintai Allah dapat menarik orang yang turut mencintai Allah?
Oleh itu gadisku, marilah berjuang. Kita teguhkan hati dan teguhkan prinsip. Kita padamkan api neraka dengan cinta agung yang kita pilih.
Moga terbayarnya segala pengorbanan dan jejak yang dicurahkan dengan sesuatu yang lebih baik dengan pautan kasih-sayang-Nya.

 

3 HUKUM BERCINTA SELEPAS KAHWIN

3 Hikmah Bercinta Selepas Kahwin

 

 

Kahwin. Satu proses penyatuan dua hati dengan melalui beberapa proses yang bersistematik. Menurut pandangan Islam, ‘nikah’ adalah akad yang menghalalkan di antara lelaki dan...
Remaja · Ahmad Justin · December 8, 2014
Kahwin. Satu proses penyatuan dua hati dengan melalui beberapa proses yang bersistematik. Menurut pandangan Islam, ‘nikah’ adalah akad yang menghalalkan di antara lelaki dan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap daripada mereka hak dan tanggungjawab.
Pada zaman yang serba moden lagi canggih ini, kebanyakkan mereka yang ingin berkahwin memilih untuk bercinta dengan pasangan mereka sebelum mereka mengikat hubungan mereka dengan ikatan nikah. Tidak ramai yang mahu bercinta selepas bernikah.
Kita dimomokkan dengan andaian-andaian buruk seperti ‘boleh hadirkah perasaan cinta tersebut?’ dan ‘bagaimana pula jika perasaan tersebut tidak hadir selepas nikah?’

Hikmah #1 – Tiada Rasa Bersalah

‘Cinta’ itu sendiri adalah abstrak. ‘Cinta’ boleh ditafsirkan sebagai cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada negara dan sebagainya. Sebagai seorang muslim dan muslimah, kita semua pasti tahu bahawa hubungan cinta antara sepasang kekasih tanpa ikatan sah adalah dilarang sama sekali jika melibatkan sentuhan fizikal.
Islam menekankan bahawa haram bagi seseorang lelaki menyentuh seorang perempuan yang bukan mahramnya. Larangan ini sangat keras sehinggakan baginda Muhammad s.a.w menegaskan bahawa
“Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak dari besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya.” Maksud hadith, dari riwayat Thabrani
Dengan bercinta selepas bernikah, pasangan tersebut boleh mengenali antara satu sama lain tanpa terhalang oleh batas-batas yang ketat. Perkara ini sama sekali tidak akan dapat dirasai oleh mereka yang bercinta sebelum berkahwin.

Hikmah #2 – Senang Menzahirkan Rasa Cinta

Ini adalah sesuatu perkara yang amat sukar untuk dipercayai melainkan kita sendiri melaluinya. Setiap pasangan akan melalui saat di mana cinta mereka diuji. Bagi mereka yang belum bernikah, ujian tersebut akan menyebabkan mereka tidak tenteram dari perasaan negatif. Masih adakah cinta? Adakah dia setia? Mana buktinya?
Masalah-masalah sebegini dapat diatasi oleh mereka yang bercinta sebelum berkahwin dengan mudah kerana tiada batasan untuk mereka menzahirkan rasa cinta mereka. Tidak ada halangan untuk mereka saling menzahirkan rasa cinta melalui kata-kata ataupun sentuhan.
Berbeza pula dengan mereka yang bercinta tanpa ada ikatan yang sah, hubungan antara mereka berdua dibatasi oleh syarak dan menyukarkan kedua-dua pihak dalam menyelesaikan pertengkaran yang ada.

Hikmah #3 – Proses Berkenalan Tanpa Batasan

Sesiapa yang pernah bercinta pasti akan mengakui bahawa transaksi daripada proses ‘berkenalan’ kepada ‘percintaan’ merupakan satu fasa yang sangat indah sekali. Banyak bait-bait lagu dan puisi-puisi yang mengungkapkan betapa manisnya fasa ini.
Bayangkan anda berada di fasa ini, tetapi tiada batasan yang menyekat pergaulan anda dan kekasih anda. Mahu berjumpa? Terus sahaja jumpa, tidak perlu bersusah-payah.
Cinta kahwin
Setelah mempunyai ikatan sah, banyak perkara diberi ganjaran pahala. [Panoramio]
Mahu memeluk kekasih anda? Peluk sahaja, tiada dosa di atas anda, malah diberi ganjaran pahala! Inilah satu hikmah yang besar jika kita bercinta selepas berkahwin; ianya khusus untuk mereka yang memilih jalan ini.
Apakah ada lagi fasa yang lebih indah di dalam percintaan kita selain dari fasa pertukaran dari berkenalan ke percintaan?

Konklusi

Bercinta selepas berkahwin merupakan sesuatu perkara yang sangat indah lagi seronok. Penulis sendiri adalah salah seorang yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk bercinta selepas berkahwin.
Pengalaman tersebut adalah satu pengalaman indah yang tidak mungkin dapat dikongsikan 100% melalui penulisan. Namun begitu, ini bukanlah berpendapat bahawa bercinta sebelum berkahwin itu salah.
Tiada masalah jika mana-mana pihak mahu bercinta sebelum berkahwin asalkan mengikut batas syarak yang dibenarkan dan kedua-dua pihak yang terlibat mempunya matlamat yang jelas; bernikah.
Yakinlah, bahawa perasaan cinta itu milik Allah dan Dia berkuasa untuk meniup rasa cinta itu ke dalam hati kita selepas bernikah. Cinta selepas nikah itu indah; semoga percintaan kita semua diberkati Allah sebagaimana Dia memberkati percintaan di antara para Rasul-Nya dan isteri-isteri mereka.