Wednesday 30 December 2015

JERAT PERCINTAAN YANG MELALAIKAN

Jerat Percintaan Yang Melalaikan


Jatuh bangun menghadapi episod percintaan rupanya tidak mudah. Soalnya kerana berhadapan dengan gelora perasaan dan kecamuk fikiran.
cinta
Islam tidak melarang kita untuk bercinta asalkan mengetahui batasnya.
Dan cinta juga, merupakan episod hidup yang menjeratkan gadis kita ke jalan percintaan yang silap arah. Antara faktor membuatkan perasaan ingin bercinta adalah dek berkumandangnya lagu-lagu cinta yang melalaikan di corong-corong radio dan televisyen.
Sejak kecil dan remaja sekarang dipertontonkan dengan adegan cinta biasa yang saling bersentuhan di antara yang bukan muhrim. Filem-filem dalam negara dan luar negara yang tidak patuh syariah pula merata-rata tanpa had dan sempadan.
Aduhai, betapa sukarnya memecahkan ‘cycle’ ini yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat kita.
Justeru, para gadis mulai menjadi hamba kepada cinta bernafsu. Cinta yang mana keutamaannya bukan kepada keredhaan Allah akan tetapi keredhaan manusia semata-mata.

Cinta Bertuhan Vs Cinta Tidak Bertuhan

Pengalaman mendengar dan membaca permasalahan cinta dari remaja membuatkan timbulnya pelbagai persoalan. Kebiasaanya gadis-gadis yang tidak kuat persekitaran tarbiahnya, menjadikan cinta itu adalah perkara utama dan kuasa dalam hidup.
Setelah diselidiki, rupa-rupanya gadis yang menceritakan berkenaan teman lelakinya itu datang dari keluarga yang kurang didikan agama dan dibiarkan bertebaran sendiri tanpa perhatian.
Saya prihatin dengan gadis ini. Mereka sangat memerlukan perhatian dan belaian yang secukupnya. Lantaran jatuh ke tangan orang yang salah, maka layanan pula menjadi salah.
“Benarlah, cinta itu kuasa yang padanya menatijahkan hanya 2 perkara sahaja, samada mendekatkan diri kepada Tuhan atau menjauhkan diri dari Tuhan.”
Silap mendefiniskan cinta ini juga berlaku, apabila keduanya di sekalikan tanpa piawaian yang benar. Sebagai contoh, tersebarnya gambar-gambar remaja yang belum berkahwin dan saling berpelukan namun captionnya jelas tertulis “Berbahagia hingga Jannah”.
Inilah yang melemaskan para gadis dan para pemuda. Cinta sebegini tambah menjeratkan apabila nafsunya bukan sekadar sms berantai, telefon sepanjang malam namun menjadi hamba kepada seks. Katanya itulah cara membuktikan suka dan cinta.
Akhirnya cinta murah sebegini bukan sahaja meruntuhkan maruah, bahkan runtuhnya jati diri dan prinsip yang harus dipegang oleh setiap remaja muslim.
Justeru, pendidikan cinta yang betul dan tepat yang fungsinya membawa kepada keredhaan Allah tidak berkembang biak dengan baik.

Sukarnya Mendapatkan Cinta Yang Benar

Saya mengerti keadaan dilema sebahagian gadis yang ingin berubah ke jalan yang lebih baik. Berusaha semampunya meninggalkan apa yang dilarang Allah dan memeluk ke dalam jiwa apa yang disukai Allah. Ya, usaha ini pasti mengambil masa.
Samada sekejap atau lama.Justeru gadisku, mari ambil masa bersuara dengan hati, pandangan Allah atau pandangan manusia yang kita pilih? Jika kita memilih Allah, pasti cinta kita juga adalah jalan cinta yang disukai Allah.
Memilih Allah adalah pilihan yang ternyata adalah pilihan yang tepat kerana Allah akan balas dengan cinta yang sangat berharga. Cinta yang tidak tercemar dan buta dengan godaan nafsu semata.
Bukankah cinta itu adalah rezeki? Dan rezeki tidak akan didapati melainkan dicari?

Cinta Yang Benar Itu Sentiasa Ada

Ya gadisku. Aku mendengar seluruh kecamuk dalam hatimu!
Sukarnya berubah ya Allah!
Bantu aku ya Allah!

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tersirat di hati hamba-Nya.
Para gadis yang disayangi kerana Allah, selagi nyawa belum di hujung helaan dan mati belum tiba, selagi itu kita masih ada ruang masa untuk berubah.
Untuk mendapatkan cinta teragung dan mengenalkan diri dengan cinta yang membawa konsep kebahagiian, tidak dapat tidak, usaha kita mesti tinggi.
Kerana cinta yang dikejar bukan cinta berpangkat rendah tetapi cinta berpangkat agung. Jadi mulai sekarang juga, kita mesti meletakkan prinsip pada diri.
Aku mahu jadi gadis yang bagaimana?
Bagaimana diriku dan cinta yang ku ingini?
Bukankah seseorang itu menarik orang dan jodoh yang menyerupai dirinya?
Bukankah hanya yang benar-benar mencintai Allah dapat menarik orang yang turut mencintai Allah?
Oleh itu gadisku, marilah berjuang. Kita teguhkan hati dan teguhkan prinsip. Kita padamkan api neraka dengan cinta agung yang kita pilih.
Moga terbayarnya segala pengorbanan dan jejak yang dicurahkan dengan sesuatu yang lebih baik dengan pautan kasih-sayang-Nya.

 

No comments:

Post a Comment