Friday 25 July 2014

Islam agama cinta ilmu pengetahuan



ILMU pengetahuan penting dalam kehidupan manusia. Nabi Muhammad banyak memperingatkan umat Islam akan hakikat ini menerusi banyak hadisnya. Di antaranya: "Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap umat Islam (lelaki dan perempuan)".
"Siapa yang menuntut ilmu akan menjadi kafarah (penebus) segala dosa-dosa yang lalu."
"Siapa yang berjalan di suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga."
"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah (pada jalan Allah) hingga kembali."
Daripada hadis di atas, jelas bahawa Islam adalah addin yang cintakan ilmu pengetahuan. Islam dan ilmu tidak boleh dan tidak sepatutnya dipisahkan. Malah kepentingan ilmu ini dapat dikesan kepada penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam menerusi wahyu Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
"Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar". Malaikat itu menjawab: "Maha Suci Engkau (ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jugalah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka selepas Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan."
Ulasan ahli tafsir mengenai firman Allah ini merumuskan bahawa ilmu pengetahuan itu memberikan kelebihan kepada manusia berbanding makhluk lain. Manusia dikurniakan akal fikiran, anugerah Allah yang tidak diberikan kepada makhluk lain.
Oleh itu, akal fikiran yang dianugerahkan Allah ini sewajarnya digunakan dengan sebaik-baiknya dengan mengisinya dengan ilmu pengetahuan berguna. Jika ini tidak dilakukan, maka akan sia-sia akal fikiran yang dimiliki manusia.
Dalam al-Quran juga diperjelaskan bahawa martabat orang berilmu itu tinggi dan mereka mempunyai kelebihan berbanding orang tidak berilmu. Firman Allah maksudnya:
"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?" Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna."
Seterusnya martabat dan kedudukan orang berilmu pengetahuan diperjelaskan lagi oleh Allah dalam satu lagi ayat al-Quran, yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang daripada tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan."
Semestinya membicarakan ilmu pengetahuan, maka kita perlu memperkatakan cara atau kaedah untuk memperolehnya. Tidak dinafikan bahawa cara memperoleh ilmu paling berkesan adalah menerusi pembacaan. Wahyu pertama yang diturunkan sebagai watikah pelantikan Muhammad ibn Abdullah sebagai Nabi dan Rasul terakhir dimulakan dengan perkataan iqra. Firman Allah bermaksud:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Membaca adalah arahan ke atas umat Islam. Kalimah iqra yang diterjemahkan kepada 'bacalah' adalah satu fi'il 'amar (kata perintah). Kata perintah ini mengandungi seribu satu rahsia yang jika dikupas dapat membawa umat Islam ke arah kejayaan duniawi dan ukhrawi. Membaca juga sering dikiaskan sebagai kunci kepada ilmu pengetahuan. Hanya dengan membaca - bukan dengan mendengar, bercakap, meniru atau menghafal - seseorang itu dapat mendalami sesuatu ilmu pengetahuan.
Wahyu pertama yang disebut di atas itu signifikan kerana dua faktor. Pertama, wahyu pertama ini adalah bersifat saintifik kerana mengandungi maklumat proses kejadian manusia. Ini jelas satu maklumat saintifik yang diberikan oleh Allah kepada umat Islam apabila Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul lebih 1,400 tahun lalu.
Fakta sains ini hanya terbukti secara ilmiah berkurun-kurun kemudian apabila pengetahuan manusia bertambah menerusi penemuan sains dan teknologi yang lain.
Seorang pakar bedah Perancis tersohor, Prof Dr Maurice Bucaille memberikan ulasan bahawa wujud keharmonian di antara Islam dan sains. Tidak ada konflik, paradoks atau pertentangan di antara perkembangan sains dan teknologi dengan pendirian Islam. Malah Islam menggalakkan perkembangan bidang ilmu pengetahuan itu sendiri.
Kedua, Allah menyebut dengan jelas cara dan kaedah yang perlu diamalkan oleh manusia dalam proses menuntut dan mengembangkan ilmu pengetahuan.
Pertama, dengan membaca. Kita ketahui bahawa membaca adalah kunci kepada ilmu pengetahuan.
Kedua, selepas memperoleh ilmu pengetahuan, kita perlu menyebarkannya menerusi penulisan. Inilah kaedah yang digunakan sejak dulu lagi untuk menyebar luas ilmu pengetahuan. Sebab itu karya ilmiah terdahulu yang selamat hingga hari ini kerana ia dipelihara dalam bentuk penulisan, bukannya percakapan.
Kerana itu juga hadis Rasulullah dihimpunkan dalam bentuk tulisan supaya terpelihara daripada hilang dan tokok tambah mereka yang tidak bertanggungjawab. Apabila al-Quran dihimpunkan dan kemudiannya dibukukan, maka usaha ini turut menjamin al-Quran akan terus terpelihara kesuciannya hingga hari ini.
Kaedah membaca dan menulis adalah kaedah yang digunakan oleh ahli sains untuk membuat kajian.
Justeru, pada pandangan penulis, dalam memperkatakan budaya iqra, sebenarnya membabitkan budaya membaca dan menulis. Kedua-dua ini perlu digandingkan dalam usaha mengembangkan ilmu pengetahuan.
Seseorang yang suka membaca tetapi tidak rajin menulis tidak akan dapat meluahkan idea baru serta pandangan yang digarap hasil pembacaan dan pemikirannya. Jika dia hanya setakat meluahkan pandangannya dalam bentuk lisan tanpa ada rekod dalam bentuk penulisan, maka garapan pemikirannya tidak akan dapat disebar luas.
Hanya orang yang hadir yang dapat mendengar luahan pemikiran orang ini. Malah jika orang yang hadir itu sekadar mendengar semata-mata tanpa mencatatkan (menulis) apa yang didengarnya itu, maka lambat laun ilmu yang disampaikan itu akan hilang.
Seseorang yang rajin menulis tanpa suka membaca pula mengundang masalah berbeza.
Pendeknya, budaya membaca perlu disertakan dengan budaya menulis.
Pada era serba canggih kini, sewajarnya tidak ada alasan bagi kita untuk tidak menuntut ilmu pengetahuan.

No comments:

Post a Comment